ِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA
SALAM MALAYSIA MADANI
SALAM SARAWAK MAJU MAKMUR
SALAM SEGULAI SEJALAI
SALAM MENJULANG PENDIDIKAN NEGERI SARAWAK
SALAM PPD DARO JE’ULO TELO, PENDIDIKAN BERMUTU, INSAN TERDIDIK, NEGARA SEJAHTERA
1. YANG BERUSAHA, ENCIK AHMAT DAUD BIN HJ. LUGOM,KETUA PENOLONG PENGARAH KANAN, SEKTOR PENDIDIKAN KHAS, JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SARAWAK.
2. YANG BERUSAHA, ENCIK MOHAMMAD LATIF BIN RAFILI, PENGETUA SMK BELAWAI, MERANGKAP PENGERUSI PENGELOLA BERSAMA.
3. ENCIK RODY BIN BUJANG, PENOLONG PEGAWAI PPD UNIT PENDIDIKAN SWASTA, SEKTOR PENGURUSAN SEKOLAH PPD DARO (WAKIL KPPD PPD DARO)
4. ENCIK ISMAIL BIN KASAH, PEGAWAI DAERAH TANJUNG MANIS, PEJABAT DAERAH TANJUNG MANIS.
5. SEMUA GURU BESAR ZON KELOMPOK TANJUNG MANIS. MERANGKAP PENGERUSI PENGELOLA BERSAMA.
6. SEMUA PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH ATAU WAKIL PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH.
7. SEMUA PENGETUA ATAU WAKIL SM DAERAH DARO
8. SEMUA GURU BESAR ATAU WAKIL DAERAH DARO
9. SEMUA KETUA JABATAN ATAU WAKIL,
PEJABAT DAERAH TANJUNG MANIS,
BALAI POLIS SARIKEI,
BALAI POLIS TANJUNG MANIS,
BALAI POLIS BELAWAI,
MAJLIS DAERAH MATU DARO,
KLINIK KESIHATAN BELAWAI,
RELA TANJUNG MANIS DAN APM TANJUNG MANIS.
10. SEMUA KETUA KONTINJEN, PENGURUS PASUKAN, PEGAWAI TEKNIK, JURULATIH, GURU PENGIRING, PEMBANTU PENGURUSAN MURID, IBUBAPA PENJAGA DAN SEMUA ATLIT YANG MENYERTAI.
11. SEMUA AHLI JAWATAN KUASA PENGELOLA.
Terima kasih pengacara majlis
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat berkumpul pada hari yang penuh bermakna ini bagi menyempurnakan Majlis Penangguhan Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas (KMDPK) MSS Kali Ke-5 Peringkat Negeri Sarawak. Saya berasa amat berbesar hati dan berterima kasih atas jemputan untuk bersama-sama meraikan kejayaan anak-anak istimewa kita pada hari ini.
2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan jutaan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Pengelola dari Daerah Daro dan Daerah Sarikei yang telah bertungkus-lumus memastikan kejohanan ini berjalan dengan lancar.
3. Penghargaan khusus juga saya tujukan buat tuan rumah kita, warga SMK Belawai, semua sekolah di bawah kelompok Zon Tanjung Manis, barisan PIBG SMK Belawai, serta seluruh sekolah di daerah Daro yang telah memberikan kerjasama yang jitu. Permuafakatan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak amatlah membanggakan dan menjadi kunci utama kejayaan program ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
4. Saya berasa amat kagum apabila dimaklumkan tentang pencapaian penganjuran kejohanan pada kali ini. Syabas diucapkan kerana penganjuran tahun ini berjaya menarik penyertaan daripada 25 buah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) daripada keseluruhan 30 PPD di negeri Sarawak.
5. Lebih manis lagi, bilangan penyertaan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) pada kali ini telah mencatatkan peningkatan yang amat memberangsangkan, iaitu seramai 329 orang peserta, berbanding hanya 284 orang pada tahun lalu. Ini membuktikan bahawa kesedaran, sokongan, serta kepercayaan ibu bapa dan pihak sekolah terhadap potensi sukan anak-anak istimewa kita semakin utuh dan teguh.
6. Tahniah saya ucapkan kepada semua peserta yang telah mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam kesemua 6 kategori yang dipertandingkan, iaitu kategori 19 Tahun Ke Bawah (TKB), 15 TKB, dan 12 TKB bagi peserta lelaki dan perempuan. Semangat keazaman dan kesukanan yang kalian tunjukkan di trek larian benar-benar memberi inspirasi kepada kita semua.
Anak-anak yang dikasihi dan para hadirin sekalian,
7. Menerusi kejohanan pada hari ini, seramai 18 orang peserta MBPK yang terbaik akan dipilih untuk menggalas tanggungjawab besar mewakili negeri Sarawak ke Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas MSSM 2026. Kejohanan peringkat kebangsaan tersebut bakal berlangsung di Pasir Gudang, Johor bermula pada 18 hingga 21 Mei 2026 kelak.
8. Buat anak-anak yang akan terpilih kelak, bawalah nama Sarawak dengan penuh rasa bangga. Teruslah berlatih dengan gigih, jaga kesihatan, dan buktikan bahawa anak-anak Bumi Kenyalang mampu bersaing dan melakar kejayaan di persada kebangsaan dengan semangat pantang menyerah, Agi Idup Agi Ngelaban!
9. Buat para pemenang pada hari ini, syabas dan tahniah saya ucapkan. Jadikanlah kemenangan ini sebagai pembakar semangat untuk terus cemerlang di masa hadapan.
10. Namun begitu, bagi anak-anak yang tidak berjaya membawa pulang pingat pada kali ini, janganlah berputus asa atau bersedih hati. Kalian semua sudah bergelar juara di mata kami sebaik sahaja kalian berani melangkah ke garisan permulaan dan menamatkan larian dengan penuh kecekalan. Sukan bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi tentang keberanian mencuba, tidak mudah mengalah, dan menjadi lebih baik daripada semalam. Teruskan usaha, insya-Allah kejayaan pasti menanti di hari muka.
11. Akhir kata, saya mendoakan agar semua anak-anak MBPK kita terus berjaya bukan sahaja dalam bidang sukan, malah dalam kehidupan secara keseluruhannya. Terima kasih sekali lagi kepada semua jawatankuasa, para guru, dan ibu bapa atas dedikasi yang tidak berbelah bahagi.
12. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan rasminya menangguhkan Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas (KMDPK) MSS Kali Ke-3 Peringkat Negeri Sarawak.
Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.